"Selama ada angan-angan yang baik itu tiadalah puas hati saya mati
sebelum saya lihat perubahan yang baru dan elok -Tok Kenali"
Tok Kenali
(1868M - 1933M)
“Telah mengakulah saya bahawa saya ini tiada daripada kuda medan ini. Sekiranya jika ada orang yang mengangkatkan pekerjaan saya ini terhentilah saya, kerana bukan tujuannya saya hendak menunjukkan kebijakan dan mencari kepujian, kerana adalah orang yang mengarang itu jadi kikit bagi sekalian penembak. Jika tidak ia pejam matanya nescaya mati ia kerana dukacita, tetapi adalah dituntut daripada seseorang itu manfaatnya atau mudharatnya, beranilah saya menceburkan diri di dalam laut api yang sentiasa bernyala-nyala. Selama ada angan-angan yang baik itu tiadalah puas hati saya mati sebelum saya lihat perubahan yang baru dan elok.”
~Tok Kenali
KEHIDUPAN DI KELANTAN
Pada masa kepulangan Tok Kenali, Kelantan sebuah negeri maju tetapi menghadapi pergolakkan politik kerana asakan Siam dan British. Kelantan pada masa itu dibawah pemerintahan almarhum Sultan Muhammad IV yang masih begelar Raja Kelantan dan ketika itu siri rundingan sedang rancak berlangsung diantara pembesar negeri Kelantan, Siam dan Inggeris bagi mencari titik persetujuan memindahkan naungan dari kerajaan Siam kepada Kerajaan Inggeris.
10 bulan kemudian iaitu pada 20 Oktober 1909 Kelantan menjadi naungan Inggeris dan tercatatlah kisah Kelantan dijajah Inggeris dan seterusnya merdeka pada 1957 di bawah nama MALAYSIA!
Ringkasnya, kepulangan Tok Kenali ke Kelantan disambut dengan zaman baru naungan Inggeris yang bakal memberi cabaran kepada tokoh-tokoh yang kembali dengan ilmu pengetahuan dan kebolehannya.
DAKWAH ISLAMIYAH DI KELANTAN
Tanpa membuang masa, Tok Kenali terus memulakan usahanya untuk menabur bakti pada masyarakat Kelantan dengan menubuhkan Pondok Kenali dan usaha ini telah mendapat bantuan daripada sahabat beliau yang juga Menteri Besar Dato’ Perdana Haji Nik Mahmud bin Ismail. Persahabatan mereka ini terjalin semenjak usia belasan tahun lagi ketika mereka menuntut ilmu dengan Encik Ismail, ayahanda Dato Ismail.
Mereka juga sama-sama menuntut dengan Tuan Guru al-Syaikh Ahmad. Sekiranya Tok Kenali dapat mewarisi ilmu tatabahasa Arab dan ilmu agama yang tinggi, maka Dato’ Haji Nik Mahmud telah mewarisi ilmu dan pandangan-pandangan kemasyarakatan dan siasah yang tinggi dari Tuan Guru Syaikh Ahmad itu.
Mereka berdua telah menggerakan usaha untuk memajukan Negeri Kelantan dan meluaskan penyebaran ilmu pengetahuan agama yang tinggi. Tok Kenali akhirnya bertugas di Masjid Besar Kota Bharu setelah terlalu kerap berulang alik dari Pondok Kenali ke Kota Bharu bagi memenuhi tugasan besar ketika itu.
Masjid Besar Kota Bharu (Masjid Muhammadi) – pada waktu Tok Kenali ianya adalah satu pusat pengajian tinggi Islam yang tidak lama kemudian muncul sebagai satu-satunya pusat pengajian tinggi yang paling gemilang di Semenanjung Tanah Melayu.
KEPERIBADIAN
Beliau satu-satunya Ulama yang disayangi oleh segenap lapisan masyarakat. Kisah hidup beliau telah mencapai tahap lagenda kerana hingga hari ini kisah beliau sering diperkatakan walaupun beliau sudah tiada 79 tahun yang lampau (2012).Beliau bukan sahaja terkenal sebagai seorang Ulama Besar tetapi sikap dan peribadi beliau yang jujur, rendah diri, peramah dan pemurah.
Selain itu, beliau juga zahid, bersahaja dan darwis sikap yang diamalkan semenjak menuntut di Mekah. Beliau melayani yang bodoh sama seperti beliau melayani yang cerdik, beliau menghormati kanak-kanak sama dengan beliau menghormati orang-orang dewasa.
Beliau juga tidak pernah menghampakan pemberian dan jemputan dari sesiapa pun. Sekiranya beliau menerima pemberian, maka dia akan bahagikan kepada orang-orang disekelilingnya dan apabila dijemput, beliau akan tampil menjadi tukang masak.
Keperibadian beliau inilah menyebabkan orang yang berhubungan dengan beliau menyimpan kenangan-kenangan yang indah terhadapnya.
SUMBANGAN TOK KENALI
PENTADBIRAN DAN USAHA DAKWAH
Tok Kenali sentiasa dirundingi oleh sahabatnya, Dato’ Perdana bukan sahaja dalam persoalan-persoalan agama, malah dalam persoalan-persoalan umum, kerana di samping sifatnya sebagai ulama’ besar, beliau juga terkenal mempunyai pemikiran yang tajam dalam permasalahan kemasyarakatan dan siasah. Di zaman merekalah tertubuhnya Majlis Ugama Islam Kelantan (1915), Madrasah Al-Muhammadiah (1917) dan terlancarnya majalah Pengasuh (1918). Kedua-dua tokoh ini memainkan peranan yang penting dalam kemajuan umat Islam di Kelantan.
PONDOK KENALI
Beliau tidak meninggalkan karya yang besar dalam mana-mana bidang pengajian Islamiah, namun jasa beliau yang paling besar adalah mewujudkan barisan Ulama yang berpendidikan tinggi di negeri Kelantan dan Malaya, Indonesia, Thailand dan Kemboja pada separuh abad ke-20.
Beliau juga telah berjaya membawa kemuncak pengajian tatabahasa Arab, nahu sarf, balaghah dan ‘arudh di dalam sistem pelajaran pondok di negeri ini.
MAJALAH PENGASUH
Info ringkas:
Ketua Pengarang pertama dan Pengasas – Tok Kenali
Tahun penerbitan 1918
Majalah Pengasuh majalah tertua yang kedua selepas Majalah Al-Imam yang diterbitkan oleh Syed Sheikh bin Ahmad al-Hady pada tahun 1906
Majalah Pengasuh sama usia dengan Majalah Seri Pustaka di Indonesia yang diterbitkan Balai Pustaka dalam tahun 1918.
Hingga ke hari ini Majalah ini masih diterbitkan!
Tok Kenali bukanlah seorang penulis prolifik seperti Syed Sheikh, tetapi beliau mempunyai gaya penulisan yang gagah dan jelas, sekiranya beliau tidak dilambakan dengan tugas yang banyak dan berat, sudah pasti nama beliau akan tercatat sebaris dengan sasterawan negara.
Semenjak dari muda lagi, Tok Kenali minat membaca dan tegas terhadap bidang jurnalis serta peranan majalah dan suratkhabar selaku mass media yang berpengaruh untuk menyatupadukan umat Melayu dan beliau telah berusaha menerbitkan Majalah Pengasuh melalui Majlis Ugama Islam walaupun beliau sibuk dengan tugas-tugas besar yang lain.
PULANG KE PANGKUAN ILLAHI
Pada 19 November 1933 Tuan Guru yang disayangi al-Haji Awang Muhammad Yusuf al-Kenali telah pulang ke rahmatullah, meninggalkan di belakanya satu barisan ulama yang terkenal iaitu:
-
Tuan Guru Haji Yaakub Legor (al-Marhum)
-
Tuan Guru Haji Ali Salahuddin (al-Marhum)
-
Tuan Guru Haji Jalaluddin Sering (al-Marhum)
-
Tuan Guru Haji Abdullah Tahir (al-Marhum)
-
Tuan Guru Haji Yaakub bin Haji Ahmad (al-Marhum)
-
Tuan Guru Haji Saad (al-Marhum)
-
Al-Syaikh Anjun dari Asahan, Indonesia (al-Marhum)
-
Seorang murid beliau telah menjadi seorang guru terkemuka di Masjid al-Haram Makkah pada dekad 20an.
​
Sumber :